Rabu, 19 Februari 2014

Belajar dalam aliran agama.

Sekarang Qaireen dah ada kerja sekolah, balik rumah lepas mandi makan malam, kena siapkan kerja sekolah. Kadang2 aku kesian juga, kecik-kecik lagi dah kena buat homework. Aku dulu sekolah tadika, aktiviti makan, menyanyi, main2, pastu balik rumah. Tak de home work pun. Lepas tu asyik nak ponteng. Sebab aku start tadika umur lima tahun jadi enam tahun aku dah jadi boring hahaha. Ayah aku pun tak paksa suruh pergi tadika hehe.


Kerja sekolah Qaireen lebih kepada menulis jawi dan bahasa arab. Yelah, tadika Pasti. Memang aku dan husband nak bagi aliran agama awal2. Mujur juga aku anak Johor, bersekolah di Johor. Dari sekolah rendah dah masuk sekolah agama kerajaan johor. Jadi boleh mahir membaca dan menulis jawi. Adalah ilmu nak ajar anak-anak sendiri. Pernah juga terfikir nak berkhidmat di Johor supaya anak-anak dapat didikan sekolah Agama Johor hahaha.Sebagai anak Johor, aku paling support sekolah agama ini berbanding support JDT hahaha..

Kalau sekolah dulu, aku start masuk sekolah agama masa aku darjah dua, tahun 1988 di Sekolah Kebangsaan Parit Setongkat, Muar.  Sekolah kebangsaan waktu pagi jadi pergi sekolah agama waktu petang. Mula kelas pukul 2.00 petang sampai 3.30 petang. Jadi ayah akan datang hantar bekalan makan tengahari sebab habis sekolah pagi aku tak balik rumah. Terus masuk sekolah agama yang betul2 bersebelahan sekolah pagi.

 Sumber dari:http://berilmuberamalberiman.blogspot.com/2011

Bangunan sekolah agama aku tu kalau korang tengok gambar di atas memang adalah lokasi bangunan yang sama, satu bangunan lama. Beratap genting, berdinding dan berlantaikan papan. Sebijik cerita Pendekar Bujang Lapok,  macam dewan besar dan dibahagi-bahagikan kelas dengan papan lapis mengikut darjah. Jadi kalau pelajar senyap, boleh dengar suara cikgu2 yang mengajar di kelas sebelah bersahut-sahutan :) Dan sampai sekarang aku ingat, rakan sekelas cakap dulu dulu ada perang Jepun kat sini, jadi bawah bangunan sekolah ni pernah jadi tapak kubur tentera Jepun. Kalau korang pijak lalu bawah sekolah ni nanti kaki korang kebas!!?? Bahaha!!


kitab2 ni ada lagi mak simpan kt kampung, gambar ni aku amik kat google loh.

Sistem sekolah agama negeri Johor ni, kalau lulus peperiksaan baru naik darjah. Kalau tak lulus, ko duduklah ulang belajar sampai lulus. Sebab tu tahun berikutnya aku dapat potong abang aku naik darjah tiga tapi abang aku kena tahan darjah dua sebab tak lulus. Sudahnya cikgu ingat aku kakak, abang aku jadi adik pulak. Bengang dia!! Dan mmg wajib lulus ibadat, Al quran dan tauhid. Baru dapat naik kelas. Masa periksa pertengahan penggal, hebat aku dapat no 5, tapi tak lulus sebab ilmu tauhid dapat dakwat merah (gagal ler). Mujur akhir penggal lulus juga. Jadi bukan senang nak lulus.

Ada sekali aku tak dapat naik kelas, masa darjah empat. Sebab arwah uwan nak berangkat tunai haji di Mekah, jadi mak nak ke Tabung Haji di Kelana Jaya untuk hantar arwah. Kebetulan tarikh tu terkena kami ada peperiksaan akhir. Aku punya takut tak nak pergi KL sebab tak periksa nanti tak dapat naik kelas. tapi mak bising sebab takde sapa nak jaga aku.

Kitab -kitab sekolah ni ayah beli kat kedai Bajrai di bandar Muar. Kitab adab, tauhid, faraid, tajwid, tafsir, ibadat, bahasa arab,  tarikh (sirah) dan sebagainya.Darjah 4 sampai 6, waktu bermula 3.30 sampai 6.30 petang. Penat weii, satu hari duduk kat sekolah..

Tahun 1993, keluarga aku pindah ke Batu Pahat. Aku daftar ke Sekolah Agama Peserai Batu Pahat. Masa tu ustazah agak bising sebab rekod kedatangan aku buruk sikit di sekolah Muar dulu. Aku dah darjah 6 jadi sibuk ke kelas tambahan UPSR. Malu seh, byk ponteng sekolah petang. Mujur sekolah baru buat kelas tambahan hari minggu. Sekolah ler situ sampai lulus darjah 6 (masa ni aku dah Form 2). Alhamdulilah dpt naik kelas setiap tahun.


Ada satu kitab fiqh ni, kitab Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain . Belajar muamalat, munakahat, jenayat dan ibadat. Tapi kalau baca sendiri, mashaAllah memang pening. Sebab kosa kata b.arab diterjemahkan terus dalam jawi melayu, ayat terlalu berpusing dan berbelit. Hanya ustaz dan ustazah yang faham. Jadi cikgu akan tulis semula dan terjemahkan pada ayat yang mudah faham. 

Aku ingat lagi kelas jenayat, hukum orang murtad. Disuruh bertaubat dan jika enggan maka dipancung kepalanya. Begitu berat kesalahan murtad dalam Islam, tidak boleh dimain-mainkan. Aku rasa kalau jenayat ni dilaksanakan, inshaAllah tiada kes murtad berleluasa seperti sekarang. Solat ketika barisan sedang berperang atau bertempur pun cikgu ajar, siap praktikal. Budak laki2 lah kena berbaris praktikal sembahyang kat depan.  Jadi jelas solat wajib dilaksanakan walau dalam keadaan darurat macamana pun.

Bila tamat darjah enam, aku dah Form 3.. Umur dah 15 tahun, anak dara sunti hehehe. Ayah suruh masuk darjah khas. Aku malas tapi fikirkan sebab ayah beriya2 dia mahu ada salah sorang anak dia lulus darjah khas. Dulu ayah belajar darjah khas tapi tak lulus. Abang dan aku dah berhenti awal sebab asyik tak lulus darjah. Maka aku dan kawan aku, Syamiza pergilah juga Darjah Khas di Sekolah Agama Bagan walaupun dah sibuk PMR. (Syukur juga aku masuk darjah khas agama, tak dikejar hanya ilmu dunia tetapi juga akhirat, inshaAllah).


Darjah Khas memang open, ustaz cerita terang-terangan. Sekolah takde cikgu perempuan. Semua cikgu laki2. Kalau bab ibadat dan munakahat (nikah kahwin) aku dan Syamiza confirm nak tergelak babas tapi kelas kami ramai pelajar perempuan belum akil baligh kot (rata2 usia 12, 13 tahun banding aku dan Syamiza pun umur 15,16  tahun dah). Jadi diorang senyap jek....bosan betul! Kelas sebelah, semua budak lelaki tergelak sampai ketuk2 meja, aku pun jeles rasa nak lompat ke sebelah dengar cikgu ajar apa, lol. 

Tapi kecewa beb, pertengahan penggal, ustaz membebel luahkan rasa kesal pulak!! Ada ke patut pelajar kelas aku report kat orang kampung kata cikgu sekolah ni buat citer, lawak lucah. Marah betul ustaz, padahal apa yang dia ajar memang betul dan benar berlandaskan dari kitab. Sengal, payah betul kalu ada budak bawah umur ni!! Sebab tu dulu ayah aku suruh masuk lambat sikit sekolah agama (abang aku masa umur 7 tahun, sibuk nak masuk sekolah agama tapi ayah suruh tunggu lagi dua tahun). Dannn lepas tu ustaz dah jadi serius mengajar takde lawak, mcm professor. Bagusnya semua cikgu aku tak pro kerajaan, walaupun ajar sekolah agama negeri.

Alhamdulilah, aku lulus darjah Khas tahun 1996, result ada pangkat dan agregat mcm SPM rupanya. Sijil tu aku ambil masa lepas keluar result SPM hehe lama giler baru nak ambil. Sebab cikgu kata kena tunggu Jabatan Agama Negeri Johor keluarkan sijil. Kebetulan jumpa Syamiza, jomm kita sekolah Bagan. Nanti bila lagi nak amik sijil sek. agama, masing2 dah bawa haluan diri. 

Dan masa ambil sijil, Cikgu tanya result SPM aku yg baru fresh keluar dari oven sekolah pagi tu. 
Aku: Pangkat 1.. 
Cikgu : Darjah khas? 
Aku: Lulus. Sama lah... 
Cikgu: Hah nti amik borang tu
Aku: Borang apa cikgu?
Cikgu: Awak masuk kolej ni, ni tajaan jabatan agama negeri johor. Belajar 3 tahun, dapat diploma. terus masuk ajar sekolah agama sini. Confirm awak dah ada kerja. Dari awak nk mohon UPU tu belum tentu dpt tempat.
Aku : SPM saya Pendidikan Islam teruk cikgu. (Aiseh subjek Islam aku dpt cangkul hahaha, mungkin jwb tak ikut skema)
Cikgu: Takpe, awak ada darjah Khas.
Aku: (Blur) Takpe cikgu, sy kena pikir dulu. 
(aku tak tau layak ker aku untuk jadi pendidik masa tu hehe. Dalam bas aku siap tanya Syamiza muka aku ni mampu ke nk jadi ustazah??).

Ingat-ingat balik ler ni, hehehe. Memang tak jadi pilih. Sebab takut nak berdepan dengan pelajar. Tapi akhirnya aku juga menjadi pendidik. Cuma bukan aliran agama, tapi aliran kejuruteraan. Apa2 pun aku salute dan bangga pada sekolah agama negeri Johor. Rock rock juga, tapi agama tetap kukuh di hati. Aku adalah seperti apa yang aku belajar. Akan aku amalkan apa yang aku dah belajar. Amin... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...